Friday 25 October 2013

Bajet 2014 Untuk Sektor Pertanian

Alhamdullilah bidang pertanian masih direncana dalam bajet 2014 dan ini adalah kerana sektor ini adalah tulang belakang Malaysia. Di bawah adalah ucapan YAB Dato Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan bajet 2014 mengenai sektor ini:

TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI

Meningkatkan Rantaian Sektor Pertanian

66. Hakikatnya sejak dahulu kala, bidalan lama menyatakan, berbudi pada tanah, berbakti kepada bumi, nescaya kita dapat menuai hasilnya. Lalu, seperti tiap tahun, bidang pertanian tersusun dalam agenda Bajet negara. 

67. Peruntukan sebanyak 6 bilion ringgit akan disediakan untuk pelaksanaan program pertanian yang mempunyai nilai tambah tinggi dan berdaya komersil. Antara inisiatif utama adalah seperti berikut:

Pertama: Menubuhkan Food and Agro Council for Export atau FACE yang akan dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Ia bertindak sebagai pemudahcara untuk meningkatkan eksport produk pertanian tempatan;

Kedua: Memperkukuhkan FAMA untuk memainkan peranan yang lebih strategik dengan konsep dari ladang ke pasaran eksport. Sebagai contoh, FAMA akan menganjurkan Agro bazaar di Singapura. 

Memandangkan permintaan dan harga yang tinggi, kita juga akan berusaha untuk meningkatkan eksport durian ke pasaran China. Untuk mempastikan kesegaran produk pertanian, Kerajaan akan turut menyediakan kemudahan cold room di KLIA. Tujuannya, selain daripada meningkatkan eksport negara, ia dapat memberi pulangan yang lebih tinggi kepada para petani; dan

Ketiga: Mempastikan harga berpatutan bagi produk makanan dengan membuka tambahan 60 pasar tani, 50 pasar ikan, 50 karavan tani, serta memperluas 100 gerai buah-buahan segar di seluruh negara. Langkah ini akan dikendalikan oleh FAMA dan LKIM yang dapat memberi kemudahan kepada peniaga menjual secara langsung produk makanan kepada pengguna.

68. Selanjutnya, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 2.4 bilion ringgit bagi meneruskan bantuan subsidi dan insentif. Ini merangkumi subsidi baja, benih dan harga padi, insentif pengeluaran dan peningkatan hasil padi, subsidi harga beras serta insentif hasil tangkapan nelayan. Di samping itu, Kerajaan juga memperuntukkan sebanyak 243 juta ringgit bagi tujuan pelaksanaan program tanaman semula getah, kelapa sawit dan koko serta program ladang hutan. 

69. Selain itu, bagi meningkat produktiviti serta menghasilkan produk pertanian yang mempunyai permintaan tinggi, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah 634 juta ringgit di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara. Antara projek yang terlibat adalah tanaman padi, projek ikan dalam sangkar, projek rumpai laut dan burung walit, projek herba bernilai tinggi, tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan bagi pasaran eksport. 

70. Kerajaan juga akan melaksanakan projek ternakan lobster atau udang kara di Semporna, Sabah dengan kerjasama syarikat Multinasional untuk menghasilkan sebanyak 18 ribu tan metrik yang dijangka dapat mewujudkan 20 ribu peluang pekerjaan dan membantu lebih 6,000 pengusaha tempatan pada jangka panjang serta meningkatkan pendapatan sehingga empat ribu ringgit sebulan. 

71. Bagi meningkatkan lagi daya saing dan memacu sumbangan Bioekonomi kepada pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan melaksanakan program Bioeconomy Community Development untuk membangun tanah-tanah terbiar melalui aplikasi bioteknologi dan penanaman kontrak untuk menambah nilai industri pertanian dan pendapatan petani.

72. Selain itu, Kerajaan juga menyedari peranan aktiviti penyelidikan dan pembangunan atau R&D sebagai pemangkin kepada pembangunan Bioekonomi. Oleh itu, insentif R&D berikut akan diberi kepada projek yang berkelayakan yang akan dinilai oleh BiotechCorp:

Pertama: Potongan cukai kepada syarikat yang melabur untuk memperoleh platform teknologi dalam industri berasaskan bio;

Kedua: Pengecualian duti import ke atas peralatan R&D bagi syarikat yang melabur dalam pilot plant untuk tujuan pra-pengkomersilan di Malaysia; dan

Ketiga: Insentif khas kepada syarikat untuk menampung sebahagian kos operasi pembangunan modal insan bagi Centre of Excellence for R&D.

Insentif ini adalah bagi permohonan yang diterima oleh BiotechCorp mulai 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2018.


YAB Dato Seri Najib Tun Razak berbaju melayu oren semasa membentangkan bajet 2014